News

Program IFCA bantu syarikat capai skala global

Berita Harian Online | 28 Dec 2017

KUALA LUMPUR: IFCA MSC Bhd (IFCA MSC), penyedia penyelesaian bersepadu industri hartanah terkemuka, melancarkan 'Program Pemecut IFCA' bagi membantu syarikat teknologi tinggi tempatan untuk mencapai skala global.

Program itu yang menawarkan peruntukan sebanyak RM10 juta, mendapat kerjasama daripada Google Cloud.

Ia bertujuan memupuk serta membangunkan syarikat berteknologi tempatan menerusi penyediaan dana, rangkaian perniagaan dan bimbingan.

Pada peringkat pertama, program berkenaan akan mengenal pasti 10 syarikat berpotensi 'Proptech' dan akan membimbing mereka untuk mencapai skala global.

Syarikat yang disenarai pendek akan bekerjasama dengan pakar IFCA MSC dalam membangunkan penyelesaian teknologi baharu industri hartanah, selain akan menyertai program permulaan platform 'Google Cloud' serta berpeluang meningkatkan inovasi kepada modal kapitalis dan pelabur.

Ketua Pegawai Eksekutif IFCA MSC, Michael Cho, berkata 'Prop-tech' akan menawarkan satu inovasi baharu dalam industri hartanah hari ini dan ia adalah komitmen berterusan IFCA MSC dalam memastikan industri hartanah terus kekal mapan.

“Ia juga sejajar dengan keperluan pengembangan pasaran dan pelanggan yang sentiasa berubah.

“IFCA MSC berperanan untuk memupuk inovasi dan pertumbuhan teknologi dan 'Prop-tech' di Malaysia dengan mengenal pasti idea baharu yang boleh diintegrasikan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, dengan pemilikan rizab tunai yang kukuh berjumlah RM69.6 juta sehingga Jun 2017, pihaknya bersedia untuk melabur dalam teknologi tinggi strategik yang boleh diintegrasikan dalam perniagaan bagi tempoh jangka panjang.

“Bagi memastikan syarikat 'Prop-tech' terus berkembang maju di Malaysia, kita perlu mewujudkan satu ekosistem lebih berdaya saing.

“Program Pemecut IFCA tidak hanya membolehkan syarikat berteknologi tinggi menerima sumber tepat untuk terus berkembang, tetapi turut memudahkan perkongsian kerjasama yang membentuk asas bagi inovasi serta ekosistem 'Prop-tech' yang berkembang maju,” katanya.

INFO:

  • IFCA MSC ditubuhkan pada 1987
  • Berpengalaman menguruskan lebih 6,000 projek serta menyediakan pelbagai penyelesaian termasuk pengurusan harta, pengurusan perhubungan pelanggan, sumber manusia dan platform e-jualan hartanah